One Malaysia Community
What's happening around Malaysia

Kemiskinan bukan halangan


Kemiskinan bukan halangan
Posted on 04 April 2011

KUALA LUMPUR: Beberapa tahun yang lalu, seorang gadis berusia tiga belas tahun yang berasal dari Kampung Buayan di Penampang berasa amat gembira kerana dapat menjejakkan kaki ke salah sebuah sekolah menengah yang terdapat di daerah Penampang.

Pada waktu itu beliau amat bersyukur kerana berpeluang untuk menikmati pendidikan di sekolah menengah sama seperti budak-budak lain yang tinggal di bandar. Apa yang bermain fikirannya adalah mengambil setiap peluang pendidikan yang ada demi menjamin masa depan yang baik bagi keluarga.

Disangkakan panas hingga ke petang, tapi rupa-rupanya hujan di tengahari. Punah harapan dan malang bagi Josia Sipanis kerana terpaksa menamatkan zaman persekolahan ketika baru dua bulan berada di sekolah tersebut akibat masalah kewangan yang dialami keluarga.

Anak keempat daripada 10 orang adik beradik ini berkata, beliau dengan berat hati meninggalkan impiannya menuju ke menara gading lalu kembali semula ke kampung halamannya dan menghabiskan kebanyakkan masa dengan keluarga.

Namun, setelah beberapa tahun berada di kampung yang terletak jauh di pedalaman dan tidak mempunyai kemudahan asas yang baik, Josia akhirnya nekad untuk kembali semula mengejar impiannya.

Josia berkata, ” Semasa berumur 17 tahun, saya berminat untuk kembali belajar. Oleh itu saya mengambil peperiksaan PMR di salah sebuah sekolah swasta di Kota kinabalu.”

Keputusan PMR yang baik tersebut telah mendorong Josia untuk mengambil peperiksaan SPM. Namun sekali lagi masalah kewangan telah menyekat beliau daripada terus mara kehadapan.

” Oleh itu saya mengambil keputusan untuk bekerja sementara (dalam tempoh setahun) di Kuala Lumpur. Setahun kemudiannya saya mengambil peperiksaan SPM. Keputusan yang agak baik membolehkan saya menyambung pelajaran ke tingkatan enam di sekolah yang sama,” kata Josia yang menerima pendidikan awal di S.K Buayan Penampang daripada darjah satu hingga darjah enam.

Katanya lagi walaupun keadaan kewangannya agak bermasalah, tetapi atas berkat pertolongan saudara mara yang pemurah, beliau berjaya menamatkan pelajaran di tingkatan enam dan meraih keputusan peperiksaan STPM yang agak baik.

Namun perjalanan ke menara gading bagi Josia yang gemar menghabiskan masa dengan keluarga, tidak terhenti setakat itu sahaja. Pada tahun 2005, dengan berbekalkan kelulusan STPM yang baik, beliau telah berhijrah ke ibunegara untuk mencari pekerjaan dengan tujuan tidak lain dan tidak bukan hanya untuk mengumpul wang demi menyambung pelajaran serta ingin hidup berdikari.

Beliau, yang enggan mengalah kepada masalah kewangan, akhirnya berjaya mendapat pekerjaan sebagai eksekutif pentadbiran disalah sebuah syarikat swasta dan diberi tanggungjawab menjaga keperluan serta membantu didalam pengurusan syarikat.

Dengan adanya pekerjaan tetap tersebut, ia telah membuka semula peluang buat Josia untuk belajar. Lalu tanpa berlengah, dia mendaftarkan dirinya disalah satu institusi pengajian swasta disini.

” Sekarang saya sedang belajar dalam bidang Pengurusan Perniagaan (Ijazah) di UNITAR. Saya membiayai pelajaran dengan menggunakan pinjaman PTPTN (Separuh sahaja) dan yang selebihnya dari gaji bulanan saya, ” ujar beliau yang pernah bercita-cita menjadi seorang peguam dan kini berusia 28 tahun.

Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan komuniti Sabah lain yang ada di Kuala Lumpur, Josia berkata, dia jarang bertemu dengan mereka kerana hanya keluar jika ke tempat bekerja atau ke kolej sahaja.

Semasa beliau berhijrah ke Kuala Lumpur enam tahun yang lepas, hati Josia menjadi berbelah bagi kerana berpisah dengan keluarganya. Tetapi pada masa yang sama turut berasa gembira kerana berpeluang untuk menyambung pelajarannya.

Pada masa itu jugalah, beliau yang sekarang ini masih belum mendirikan rumahtangga, bertekad untuk memperbaiki diri dan seterusnya membuat sumbangan yang berguna terhadap keluarga dan juga penduduk kampung.

Beliau berkata,” Saya ingin memperbaiki diri dan kemudiannya membantu keluarga. Seterusnya saya juga ingin membantu mereka yang memerlukan terutamanya penduduk kampung.”

Ditanya samada beliau mempunyai perancangan untuk kembali ke Sabah pada masa akan datang, beliau berkata:” Sudah tentu, malah tidak sabar tetapi terpaksa bersabar kerana masih belajar.”

“Saya ingin melihat lebih ramai penduduk menerima pendidikan, pemimpin yang berwibawa serta telus, dan kemudahan asas di pertingkatkan untuk kemudahan seluruh rakyat sabah terutamanya jalan raya untuk kawasan pedalaman seperti di Kampung Buayan,” katanya yang juga mengakui amat rindukan kampungnya apabila ditanya mengenai perubahan yang ingin dilihat apabila kembali ke Sabah nanti.

Kampung Buayan adalah sebuah kampung yang terletak jauh di pedalaman daerah Penampang dan mengambil masa sekurang-kurangnya lapan jam perjalanan berjalan kaki melalui lurah, bukit dan sungai.

Kampung ini yang tidak mempunyai kemudahan asas yang baik telah dihuni sejak sekian lamanya, iaitu zaman sebelum Sabah, Sarawak, Singapura dan Malaya bersama-sama membentuk Malaysia.

Kisah mengenai Josia adalah suatu contoh klasik bagaimana seorang budak kampung yang tinggal jauh di pedalaman Sabah, terpaksa berhenti sekolah diusia yang masih muda akibat masalah kewangan yang dihadapi keluarganya.

Adalah tidak mustahil jika perkara ini berlaku juga kepada mereka yang tinggal di tempat-tempat lain jauh di pedalaman Sabah selain daripada Josia.

Masalah kemiskinan adalah masalah yang tidak seharusnya dipandang mudah kerana ia menyekat peluang seseorang itu untuk menerima pendidikan yang lebih baik.

Dalam kes yang lebih teruk ialah dimana seorang kanak-kanak berusia 11 tahun membunuh diri akibat masalah kemiskinan yang berlaku di Penampang pada tahun 2007 dahulu.

Tekad dan azam yang ditunjukkan oleh Josia seharusnya dijadikan contoh oleh generasi muda masih kini, terutamanya yang berasal daripada Sabah dan yang mengalami masalah kewangan atau kemiskinan.

Tidak seperti remaja yang lain, Josia tidak berpeluang merasai saat-saat manis berada di bangku persekolahan menikmati segala-galanya yang sepatutnya dinikmati oleh seorang pelajar.

Ketika pelajar lain yang sebaya dengannya merasai keseronokkan bersekolah seperti bersukan, menelaah pelajaran dikelas, mendengar penjelasan dari cikgu, menanti debaran keputusan ujian, bergurau senda dengan rakan-rakan, mempunyai teman-teman dan lain-lain, Josia pula meluangkan masanya di kampung membantu keluarga bercucuk tanam demi sesuap nasi. Masa tidak akan mungkin mengulangi semuanya itu untuk dia lagi.

Kini, Josia masih mampu melakukannya hingga ketahap dimana dia berada sekarang dan hampir berjaya membuktikannya.

Mempunyai tekad dan keazaman adalah ciri-ciri yang baik. Tetapi persoalannya adakah seseorang yang dibelengu masalah kemiskinan dan menyimpan harapan untuk memiliki masa depan yang baik, patut dibiarkan tanpa dibantu hanya kerana dia mempunyai ciri-ciri tersebut? Fikir-fikirkan lah.

http://metrokini.com/komuniti/kemiskinan-bukan-halangan/

Advertisements

No Responses to “Kemiskinan bukan halangan”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: