One Malaysia Community
What's happening around Malaysia

Kuasa Tawar BN Sarawak Tinggi

Kuasa Tawar BN Sarawak Tinggi
Oleh: Dr Awang Azman Awang Pawi

Keputusan pilihan raya 2011 terlerai dan membuktikan BN Sarawak menguasai lebih dua pertiga majoriti, iaitu sebanyak 55 kerusi daripada 71 dipertandingkan. Peranan Najib sebagai jeneral politik dalam desas-desus gelombang politik akan berlaku berjaya diselamatkannya. Selebihnya DAP menguasai 12 kerusi, PKR 3 manakala bebas 1.

PBB terus membuktikan keunggulan apabila menang bagi semua 35 kerusi yang dipertandingkan sama seperti pilihan raya 2006. SUPP terus mengalami kemerosotan tinggi pada kali ini dengan cuma memenangi 6 kerusi daripada 19 kerusi menambahkan lagi 5 kerusi tewas. PRS kekal tewas satu kerusi kepada Bebas di Pelagus sebagaimana pilihan raya 2006 manakala SPDP tewas 2 kerusi di DUN Krian dan Ba’kelalan yang sebelum ini dimenangi oleh SPDP. Pembangkang termasuk bebas berjaya meningkatkan kerusi daripada 9 kepada 16 kerusi, iaitu hampir 50 peratus peningkatan kerusi. Dengan kata lain pembangkang kini menguasai 23 peratus kerusi di DUN berbanding 13 peratus sahaja pada tahun 2006.

Sebelum itu, banyak media meramalkan bahawa BN akan mengalami kekalahan yang teruk malah ada yang meramalkan 20 kerusi hingga lebih 30 kerusi akan jatuh. Namun ternyata ramalan yang dibuat itu gagal? Mengapakah ramai yang membuat ramalan kejatuhan teruk BN Sarawak? Apakah ramalan ini berdasarkan sentimen, harapan dan keyakinan tinggi? Apakah ini satu permainan media yang mempunyai kepentingan dan agenda mereka sendiri terhadap kepimpinan BN Sarawak?

Parti Rakyat Sarawak (PRS) kini menjadi parti kedua besar selepas PBB. Adakah jawatan Timbalan Ketua Menteri kuota SUPP akan disandang oleh PRS? Adakah SUPP masih mempunyai tempat lagi walaupun tewas teruk dalam pilihan raya ini apabila presiden mereka yang pernah bertanding selama 7 penggal tewas di tangan lawan yang baru berusia 28 tahun sedang menjalani chambering undang-undang di Kuala Lumpur?

George Chan dikatakan menyalahkan dasar negeri dan Kuala Lumpur namun tidak pula menyatakan faktor usia dan kepimpinannya. Apakah konsep 1Malaysia tidak berjaya meyakinkan pengundi Cina di Sarawak? Apa pun, ini merupakan pencapaian pembangkang di Sarawak sejak 20 tahun.

DAP yang membawa isu tadbir urus yang baik, integriti, kepimpinan yang terlalu lama, persepsi rasuah memberikan impak besar kepada sokongan pengundi Cina yang kebanyakan golongan kelas menengah. Sebelum ini agak sukar DAP memasuki kawasan semi bandar. Kali ini DAP dapat menarik golongan pengundi Melayu dan bumiputera di kawasan Batu Kawah yang mengakibatkan kekalahan calon SUPP yang pernah memegang jawatan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri. Nampaknya usaha pelantikan tersebut untuk mendapatkan sokongan masyarakat Cina juga kurang berjaya.

Tewasnya kerusi Pelagus menimbulkan tanda tanya? Mengapakah calon BN tewas manakala Bebas boleh menang sedangkan pada pilihan raya lepas calon BN mendapat menang besar? Adakah tangan ghaib di sebalik kemenangan tersebut? Atau calon BN di Pelagus tidak berkelayakan dan tidak popular sedangkan sudah diputuskan oleh BN negeri semua calon yang bertanding adalah calon yang boleh menang?

Begitu juga di Krian kerusi SPDP yang tewas dikatakan banyak janji pilihan raya masih belum dilaksanakan dan ini mengakibatkan kemarahan penduduk setempat dan menjadi protes yang hingga sanggup menukarkan wakil rakyat mereka. Kemenangan Baru Bian memang sudah dijangka malah BN Sarawak sukar mencari calon yang paling layak untuk melawan populariti peguam yang berpengetahuan luas dalam undang-undang Hak Tanah Adat Bumiputera tersebut.

Dengan kemenangan majoriti BN Sarawak, BN Sarawak khususnya PBB mempunyai kuasa yang cukup besar dalam menentukan barisan kabinet Sarawak. BN Sarawak juga membuktikan bahawa mereka tidaklah selemah sebagaimana disangka oleh sesetengah pihak di Kuala Lumpur. Sudah tentu BN Sarawak parti berteraskan etnik ini mempunyai kuasa tawar tinggi dalam apa-apa juga urusan dan percaturan dengan pihak di Kuala Lumpur.

Kecenderungan peratus penurunan undi popular merupakan satu fenomena umum bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat BN nasional. Azmin Ali mendakwa undi popular BN Sarawak merosot daripada 62.93 kepada 55.24 peratus. Sebenarnya Sarawak mempunyai kelebihan dari segi sumber dan jentera kempen berbanding pembangkang. Apakah makna penurunan undi popular ini? Bagaimana hendak melihat kecenderungan berdasarkan peratus keseluruhan ini?

Berdasarkan pengumuman SPR, jumlah yang keluar mengundi ialah 672,667 iaitu 70 peratus daripada 960, 952 pengundi layak. BN memperoleh 372, 379 undi yang sebenarnya 39 peratus, Pakatan Rakyat pula memperoleh 261,666 atau 27 peratus undi manakala SNAP memperoleh 1.6 peratus undi mewakili 15,663 manakala Bebas mendapat 2.1 peratus , iaitu sebanyak 2.1 peratus. Perkiraan ini termasuklah jumlah undi pos yang diterima semua pihak. Sekiranya kita melihat pola ini didapati jumlah undi Pakatan Rakyat agak besar dan ini merupakan cabaran besar kepada BN Sarawak dalam pilihan raya akan datang. Mengapakah pola ini berlaku dalam pilihan raya kali ini? Apakah iktibar, strategi dan tindakan yang dapat diambil daripada penurunan ini?

Apakah yang akan berlaku sekiranya golongan bakinya, iaitu sebanyak 288,285 atau 30 peratus yang mengundi? Golongan yang tidak turun mengundi ini dapat terdiri daripada golongan atas pagar, golongan muda, atau golongan yang membuat keputusan menjauhi dari daripada dunia politik. Barangkali dunia hiburan dan sukan lebih mendapat tempat dalam kalangan golongan ini. Ada juga menggunakan faktor kesibukan kerjaya dan jarak tempat kerja yang jauh menjadi hambatan untuk mereka mengundi.

Rakyat Sarawak telah membuat keputusan mereka dan kita perlu menghormati dan akur kepada pilihan mereka. Hak dan suara pengundi ini juga memberikan kemenangan kuasa tawar yang tinggi kepada BN Sarawak dalam kabinet baru yang akan dibentuk. Dengan kemenangan seluruh calon PBB, parti tersebut mempunyai kuasa tawar yang tinggi kalangan komponen dan pihak Putra Jaya dalam apa-apa percaturan kuasa politik dan pembangunan seterusnya!

*Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Dalam dunia kesarjanaan beliau pernah mendapat biayai Southeast Asian Studies Regional Exchange Program (SEASREP), Toyota Foundation selain daripada Mardjani Foundation Russia, ahli European Association for South East Asian Studies (EuroSEAS), dan anggota Scientific and Technical Committee & Editorial Review Board on Human and Social Sciences, di Paris.

Advertisements

No Responses to “Kuasa Tawar BN Sarawak Tinggi”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: