One Malaysia Community
What's happening around Malaysia

Suasana perkhidmatan awam sudah tidak baik — Subky Latif

Suasana perkhidmatan awam sudah tidak baik — Subky Latif

January 07, 2011
7 JAN — Pandangang dari atas mengira tindakan kerajaan Selangor mempertikai perlantikan SUK Selangor yang baru boleh mewujudkan suasana tidak baik dalam perkhidmatan awam.
Memang benar kerajaan Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim mempertikai SUK baru yang dibuat oleh KSN dan SPA tanpa berunding dengannya.
Jika kejadian itu menimbulkan suasana tidak baik dalam perkhidmatan awam, maka ia bermula dari tindakan perkhidmatan awam persekutuan, bukan bermula di peringkat negeri.
Apa yang berlaku di peringkat negeri adalah reaksi dari tindakan kerajaan dan perkhidmatan awam pusat.
Menjaga moral, wibawa dan integriti perkhidmatan awam dan pegawainya adalah baik tetapi kerajaan Malaysia yang tidak pernah menghormati sistem federalisma menjadi punca kepada keruntuhan sistem perkhidmatan awam itu.
Apa yang berlaku di Selangor itu bukan perkara baru. Ia telah wujud sejak negara ini berdepan dengan adanya kerajaan negeri yang diperintah oleh parti yang tidak sama dengan yang memerintah kerajaan persekutuan.
Pilihan Raya Umum yang pertama selepas merdeka iaitu tahun 1959 Terengganu dan Kelantan jatuh ke tangan PAS. Antara pegawai kanan di kedua buah negara itu adalah rakan seangkatan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra dan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak semasa pengajian dan semasa dalam perkhidmatan awam sejak zaman penjajah.
Apabila kedua pemimpin itu mengetuai kerajaan sendiri di Tanah Melayu selepas pilihan raya 27 Julai 1955 pegawai-pegawai di semua negeri merasa mereka bekerja di bawah kawan dan kenalan sendiri. Apabila Kelantan dan Terengganu tidak ditadbir oleh Perikatan tahun 1959 antara mereka terasa mereka ditadbir oleh orang lain.
Maka mereka seperti ada pengalaman baru, ada dua ketua iaitu ketua dalam kerajaan pusat dan ketua dalam kerajaan negeri. Antara pegawai-pegawai itu memberi kesetiaan yang lebih kepada kerajaan pusat kerana mereka adalah rakan-rakan Tunku dan Tun Razak sebelumnya.
Semua masalah rahsia kerajaan negeri diketahui oleh pemimpin kerajaan pusat. Politiking ketara antara Perikatan terhadap kerajaan PAS menyebabkan bantuan kerajaan persekutuan kepada kerajaan PAS Terengganu dan Kelantan tidak lancar. Peranan pegawai antara yang menyebabkan kerajaan PAS Terengganu ditumbangkan dalam masa dua tahun.
Banyak rekod perkhidmatan awam kerajaan pusat yang tidak seimbang terhadap pentadbiran Kelantan tidak patut berlaku dalam negara yang memakai sistem federalisma sepanjang Kelantan ditadbir oleh PAS.
Apabila Kelantan ditadbir semula oleh PAS tahun 1990, kerajaan pusat mewujudkan pegawai khas mengepalai jabatan-jabatan persekutruan di negeri itu. Ia seolah-olah mewujudkan satu kerajaan dalam kerajaan negeri. Pegawai awam persekutuan tidak takluk dan tidak menghormati kerajaan negeri.
Inilah suasana yang berlaku di semua negeri yang tidak ditadbir oleh Barisan Nasional hingga hari ini.
Pegawai perkhidmatan awam persekutuan melambat-lambatkan pemberikan geran per kapita kerajaan Kelantan hingga mengganggu kelancaran pentadbiran kewangan negeri. Bantuan yang sepatut diberi awal tahun diberi akhir tahun. Ia beri, bukan tidak beri. Tetapi keadaannya seperti bapa memberi wang sekolah kepada anak selepas anak pulang dari sekolah. Keperluan wang pada anak itu ialah semasa dia di sekolah.
Sebelum Tun Razak jadi Perdana Menteri, merata-merata pegawai awam menghantar bahan dan alat pembangunan menjelang pilihan raya. Apabila calon Perikatan di kawasan itu kalah dalam pilihan raya, habis bahan dan peraliatan itu diambil balik. Pembangunan yang dicadangkan dibatalkan.
Setahun lalu pegawai pentadbiran awam yang bertugas dengan kerajaan Pulau Pinang telah menjadi punca masalah menyebabkan kerajaan Pulau Pinang dan KSN berbalas kenyataan. Puncanya ialah pegawai yang dikirim tidak merasa kesetiaan perlu diberi kepada kerajaan negeri.
Sekarang KSN mempercepatkan penamatan perkhidmatan SUK Selangor yang sepatutnya berakhir beberapa bulan lagi dan melantik seorang yang diketahuinya tidak ngam dengan kerajaan negeri menjadi SUK.
Pemberitahuan diberi kepada Sultan dan Menteri Besar mengetahui melalui media.
Yang menjalankan pentadiran negeri bukan Istana tetapi kerajaan. Apakah KSN tidak tahu? Di mana profesional KSN dalam menjaga moral, wibawa dan integriti perkhidmatan awam. Pegawai-pegawai yang menjadi penasihat Istana pun tidak memberi nasihat yang tepat kepada Istana sebelum memperkenankan nama pegawai yang dicadangkan oleh SPA dan KSN.
Pegawai tadbir yang bertugas di Jabatan Agama Perak bermasalah dengan kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Percubaan menukarnya disekat oleh Istana Perak. Beberapa bulan kemudian pegawai itu diperintah tukar pula dari Perak atas kehendak istana. Ia adalah bukti pekhidmatan awam sentiasa dipersoal.
Apa yang dapat kita kata tentang wibawa perkhidmatan awam dalam keadaan diskriminasi seperti itu? Jawapannya ialah ia memang bercelaru. Moral, wibawa dan integriti tidak baik sudah lama berlaku sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat.
Menjaga moral dan wibawa perkhidmatan awam adalah baik, tetapi ia bukan suatu tanggungjawab kerajaan negeri seperti Selangor saja. Ia mesti licin di pusat dulu.
Yang berlaku di Selangor itu tidak lebih dari satu reaksi.
Apakah pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam perlu menjalani sessi kounseling dari semasa ke semasa?
* Subky Latif adalah pengasas lidah rasmi PAS, Harakah, pada tahun 1978.
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

No Responses to “Suasana perkhidmatan awam sudah tidak baik — Subky Latif”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: